商品介绍
Penerbit: Penerbitan UKM
Penulis: Shaharom Husain
Mukasurat: 232 mukasurat
Tahun terbitan: 2004
Bahasa: Bahasa Malaysia
Tiga tahun lapan bulan Di Bawah Sinar Matahari Jepun. Pancaran cahayanya yang panas dan berbahang, menjadi suatu penyeksaan. Di sebalik pancaran matahari yang amat terik itu, timbul hikmat, kebaikan, keinsafan, teladan dan pengajaran. Timbul pula malapetaka, angkara Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) dan Bintang Tiga, yang didalangi negara yang berseteru dengan Jepun. Gajah dengan gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.
Berbagai-bagai malapetaka lain juga terjadi, seperti kekurangan makanan dan pakaian dan pelbagai penyakit yang terpaksa ditanggung. Ubat cara moden sukar didapati, ubat tradisional juga amat kurang.
Mereka yang hidup di bawah sinar matahari pemerintahan Jepun, terpaksa bekerjasama dengan Jepun dengan mempelajari bahasa, kebudayaan dan cara hidup Jepun. Mereka juga menjadi kakitangan kerajaan, tentera dan buruh Jepun selain berkhidmat dalam perusahaan dan pertanian dengan berkebun untuk menambah hasil barang makanan. Kalau tidak mereka dikerah menjadi buruh paksa, membuat landasan kereta api maut di sempadan Siam-Burma.
Tempat peristiwa ini berlaku adalah di Singapura (Syonan-To), Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Nama dan watak dalam novel ini adalah rekaan. Kecuali beberapa nama rasmi yang mengikut siaran rasmi pemerintah masa itu. Selama tentera Jepun memerintah tidaklah semua yang berlaku adalah zalim. Malah ada yang baik dan berguna, boleh dijadikan ikutan. Kerana dalam kezaliman itu ada juga perikemanusiaan, terdapat di dalamnya pengajaran, teladan, keinsafan, hingga membawa kita akhirnya sedar dan berjuang menuntut kemerdekaan dari dijajah.